Penggunaan dan perlambangan Putih

Secara amnya, oleh sebab putih ialah lawan hitam, warna ini sering digunakan dengan konotasi positif. Banyak penyataan "hitam" mempunyai padanan penyataan warna "putih" yang positif. Umpamanya, peribahasa bahasa Melayu, "Suruh putih hitam datang" membawa maksud "kemuliaan yang dikejar, kehinaan yang diperoleh". Putih juga mempunyai banyak makna yang lain:

Penggunaan

  • Putih biasa dianggap sebagai warna untuk salji dan ais, walaupun kedua-dua ini, dalam bentuk yang tulen, juga mempunyai sedikit warna biru.
  • Istilah "putih" sering digunakan di Barat untuk merujuk kepada orang Kaukasia, iaitu keturunan orang-orang Eropah dan Asia Barat yang berkulit cerah. Sebenarnya, warna kulit mereka berbeza-beza antara warna merah jambu dan coklat pucat, dan bertindih dengan sebilangan orang yang dianggap sebagai orang kulit hitam.
  • "Putik" juga bermaksud buah yang baru jadi (bakal buah), iaitu buah yang masih muda dan kecil; umpamanya, "putik mempelam" bermakna "buah mempelam yang baru jadi".
  • Putih telur ialah sebahagian daripada isi telur yang putih warnanya.
  • Ikan Putih ialah sejenis ikan darat yang bersisik tebal. Nama sainsnya Puntius binotatus.
  • Pokok Kayu Putih ialah sejenis pokok gelam. Nama sainsnya Melaleuca leucadendron. Kayu putih juga merupakan sejenis pokok renek yang mempunyai nama sains, Phyllanthus pulchar.
  • Kertas Putih ialah sebuah laporan kerajaan yang menggariskan polisi. Kertas Putih juga merupakan sebuah laporan berwibawa yang ditulis oleh sepasukan pakar tentang sesuatu persoalan utama, termasuk juga karangan ringkas yang bertujuan untuk mendidik (berbeza dengan kertas pendirian) pelanggan-pelanggan industri. Kertas Putih dinamai sedemikian kerana pada asalnya, kulit jilid dokumen itu berwarna putih.
  • Putih ialah warna untuk salah satu daripada dua pemain dalam mainan berpapan strategi abstrak, seperti catur, permainan dam, dan Go.
  • Warna putih biasanya digunakan oleh paus Roman Katolik.
  • "Menunjukkan bulu pelepah putih" membawa maksud "menunjukkan sifat pengecut". Pada Zaman Victoria di England, seorang pengecut akan diberikan sehelai bulu pelepah putih. Dalam sabung ayam, sehelai bulu pelepah di ekor ayam dianggap sebagai tanda baka yang buruk.

Simpulan bahasa dan Peribahasa bahasa Melayu

  • Putih hati: a) lurus hati, jujur; b) baik hati (suka menolong);
  • Putih mata: a) memalukan; b) menyakiti hati; c) berhiba hati menanggung rindu (seperti seorang muda melihat tunangnya diambil orang).
  • Putih kuning: a) kekasih; b) warna kulit yang elok.
  • Hitam mata itu takkan boleh bercerai dengan putihnya: Orang dalam percintaan tidak mudah dipisahkan.
  • Hitam tahan timpa, putih tahan sesah: Tetap tidak berubah, boleh dikaji keasliannya.
  • Sampai putih tulang: sampai mati.
  • Berputih tulang, jangan berputih mata (sama dengan "lebih baik berputih tulang daripada berputih mata"): lebih baik mati daripada menanggung malu.
  • Putih dikejar, hitam tak dapat (sama dengan "lepas putih, hitam tak dapat"): baik-baik dalam kesenangan dan pekerjaan yang berfaedah, tiba-tiba dilepaskan dengan sia-sia;
  • Hitam dikatakan putih, putih dikatakan: Tidak mengatakan yang sebenarnya, iaitu berdusta, atau berbohong.
  • Belum tentu hitam putihnya: belum tentu keputusan sesuatu perkara;
  • Hitam-hitam bendi, putih-putih sadah: Yang buruk lebih berharga daripada yang cantik.
  • Hitam-hitam tahi minyak dimakan juga, putih-putih hampas kelapa dibuang: Barang yang buruk tetapi berguna disimpan, tetapi barang yang cantik tidak berguna dibuang.
  • Hitam-hitam kereta api, putih-putih kapur sirih: Jangan disangka sesuatu yang buruk itu selamanya kurang harganya, malahan yang cantik itu adakalanya kurang berharga.
  • Putih di luar kuning di dalam: perihal orang yang kelihatan baik pada lahirnya, tetapi jahat di dalam hatinya;
  • Kuning di luar, putih di dalam: orang Cina yang bersikap kebarat-baratan;
  • Putih kapas boleh dilihat, putih hati berkeadaan: putih atau lurus hati seseorang itu dapat dilihat pada keadaannya (tingkah lakunya);
  • Hitam-hitam gajah, putih-putih udang kepai: Meskipun cantik rupanya, yang hina tetap hina, dan yang mulia tetap mulia, meskipun buruk rupanya.

Perlambangan